BERITA HARIAN - Sesuatu yang sudah disepakati oleh semua ialah penilaian kemuliaan seseorang itu adalah taqwa. Ini jelas termaktub di dalam al Quran "Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa" (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).
Juga diterangkan oleh Nabi Muhamad SAW : “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi,)
Syarat utama taqwa yang menjadi nilai ukuran utama kemuliaan di sisi Allah SWT ialah beriman dengan Allah SWT, hari akhirat, beriman dengan kandungan al Quran dan sifat-sifat taqwa lain yang terkandung di dalam al Quran mahupun hadis Rasulullah SAW.
Pendek kata, taqwa hanya mampu diraih oleh orang yang mempunyai syarat paling asas iaitu seorang Muslim. Mustahil orang kafir dan mensyirikkan Allah itu menjadi orang yang bertaqwa dan meraih kemuliaan Allah SWT.
Jelas sekali, jika kita membuat perbandingan antara orang kafir dengan orang Islam yang mampu meraih taqwa adalah hanya orang Islam bahkan orang kafir tidak sekali-kali mampu meraih taqwa kerana mereka tidak mempunyai syarat paling asas iaitu keimanan kepada Allah SWT.
Jadi patut difahami dari ayat dan hadis di atas ialah persaingan untuk meraih taqwa adalah sesama orang Islam sementara orang kafir sejak dari awal lagi terkeluar dari persaingan itu.
Taqwa penentu nikmat-Nya
Satu perkara yang sering dilupakan ialah, sebagaimana ukuran kemuliaan individu itu adalah taqwa, begitu juga sesebuah kelompok sama ada berdasarkan komuniti sesuatu tempat mahupun bangsa dan keturunan diukur kemuliaannya berdasarkan taqwa. Ini bermakna taqwa bukan setakat menjadi ukuran kemuliaan kepada individu tetapi juga ukuran kemuliaan kepada kelompok termasuk pelbagai bangsa yang diciptakan oleh Allah SWT.
Allah SWT pernah mengingatkan sekelompok penduduk kampung, keimanan, ketakwaan dan kekufuran mereka akan menjadi penentu kepada keseimbangan pengurniaan nikmat daripada-Nya.
Firman Allah SWT : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan. (QS al A’raf :96)
Berdasarkan kefahaman di atas, mana-mana bangsa yang individunya adalah Muslim maka individu itu adalah berpotensi untuk meraih taqwa tanpa mengira bangsa sama ada Cina mahupun India. Di sinilah terserlah keistimewaan bangsa Melayu yang kesemuanya Muslim.
Apabila kita bercerita tentang bangsa Melayu seharusnya kita memahami bahawa bangsa yang hampir keseluruhannya adalah beragama Islam di negara kita adalah bangsa Melayu. Satu bangsa yang mempunyai modal asas untuk meraih taqwa daripada Allah SWT.
Bila disebut ketuanan Melayu, janganlah terus melatah dengan mengatakan ia adalah asabiyyah yang terlarang di dalam Islam kerana perjuangan orang-orang Melayu di negara ini berkait rapat dengan perjuangan mempertahankan ketuanan Islam di nusantara ini.
Ketuanan Melayu gaya Muslim
Tiada bukti sejarah ketuanan Melayu bermaksud menjadikan bangsa lain sebagai hamba.
Buktinya kita lihat pada hari ini bangsa lain jauh lebih menguasai ekonomi negara dan bebas berpolitik dan menyuarakan pandangan dan tuntutan bahkan mempertahankan bahasa, budaya dan mempunyai sekolah vernakular mereka tersendiri.
Memaknakan ketuanan Melayu sebagai orang Melayu Muslim sebagai tuan rumah kepada negara ini tidaklah salah dari sudut syarak kerana bangsa ini diistimewakan Allah kerana mereka adalah Muslim. Terbukti di dalam sejarah, darah bangsa inilah yang paling banyak tumpah mempertahankan pertiwi dan bangsa yang terbukti sangat baik hati, boleh berkongsi hidup dan kekayaan negara ini bahkan kerakyataan juga ditolak ansurkan kepada bangsa yang minoriti dan terbukti boleh hidup aman damai.
Faktor utama perkara ini berlaku adalah Islam mengajar dan mendidik bangsa Melayu bersikap begitu.
Cuma istilah ketuanan Melayu ini pernah disalahgunakan oleh segelintir kecil orang Melayu yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar dengan mengambil peluang mengaut keuntungan peribadi. Mereka ini tidak mewakili majoriti orang Melayu Islam yang lain. Jangan disebabkan nila setitik, susu sebelanga dibuang.
Ada pula pihak lain yang menggunakan kesempatan memomokkan istilah ini untuk untuk menuntut keadilan dengan slogan hak sama rata antara tuan rumah dan orang yang datang bertamu dengan memberi konotasi buruk terhadap istilah ini. Sedangkan di dalam Islam sama rata tidak semestinya adil tetapi keadilan itu ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Secara logiknya tuan rumah adalah adil untuk mempunyai keistimewaan daripada orang yang datang bertamu.
0 Komentar