Tingkatkan Sabar Hadapi Musibah Yang Diberi



Berita Harian - KEHIDUPAN manusia tidak terkecuali orang beriman, tidak pernah terpisah daripada diuji oleh Allah SWT sejak mula dilahirkan hingga menjengah kematian.

Firman Allah SWT: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (Al-Ankabuut: 2-3)

Justeru, dalam menghadapi ujian yang diturunkan Mukmin digesa untuk tidak putus daripada meminta pertolongan daripada Allah SWT tetapi pada masa sama, menjadikan sabar sebagai cara memohon bantuan-Nya.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan bersabar dan mengerjakan solat, kerana sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Menjelaskan keperluan bersabar, pendakwah yang juga wakil Aman Palestin Indonesia, Hendar Ali Irawan, berkata Ibnu Qayyim menggariskan tiga jenis sabar, iaitu sabar di atas ketaatan kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintah-Nya; sabar daripada perbuatan maksiat dengan menahan diri daripada segala dilarang-Nya dan sabar di atas segala musibah yang menimpa.

Beliau berkata, orang yang beriman harus bersabar dan kekal istiqamah dalam melakukan ibadat supaya mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

“Kita harus istiqamah dalam melakukan ibadat dan ia perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan walaupun ditimpa musibah.

“Malah dalam bersolat, saat mengangkat takbiratul ihram untuk memulakan solat, ingatan haruslah tertumpu kepada Allah SWT. Ia bagi memastikan kita mendapat khusyuk dalam ibadat yang sedang dilakukan.

“Jadi hati perlu dijaga agar tidak berbolak-balik mengingati perkara keduniaan. Ini kerana ibadat tanpa sabar menyebabkan solat itu menjadi sia-sia dan tidak mendapat pahala,” katanya pada sesi tazkirah bertajuk Hikmah Di Balik Musibah di Surau NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur.

Hendar berkata, dalam melakukan sedekah, hati perlulah ikhlas kerana Allah SWT dan perlu menghindari daripada sikap riak serta semata-mata untuk menunjuk di atas amal yang dilakukan.

Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya seseorang itu rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (pelbagai kebaikan) dan bersedekah, cuma dia suka mengganggu tetangganya dengan lisannya?” Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya dia termasuk penghuni neraka.” Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya seseorang yang lain mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?” Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk penghuni syurga.” (HR Bukhari)

Hendar berkata, pada zaman maksiat berleluasa seperti masa kini, umat Islam sangat dituntut untuk bersabar terutama menjaga mata dan hati kerana dibimbangi boleh menjerumuskan serta mendekatkan diri dengan perkara maksiat.

Beliau memetik peringatan Imam Shafie yang menegaskan sekiranya seseorang itu terbiasa melakukan maksiat, maka Allah akan mematikannya dalam keadaan yang sama.

“Orang yang biasa hidup dengan melakukan solat dan amat ibadat lain, maka apabila nyawa dicabut nanti, kita akan mati dalam keadaan husnul khatimah,” katanya.

Beliau berkata, sifat orang beriman adalah dia akan bersabar dalam menghadapi segala musibah yang melanda, malah ketika berdepan masalah itu, ia mampu meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda serta jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

“Perjalanan kita bukanlah semata-mata di dunia ini. Malah tiada yang akan hidup selama-lamanya kerana semuanya akan mati di hadapan Allah SWT. Jadi sekiranya kita bersabar apabila berdepan dengan ujian di dunia ini, maka sudah tentu Allah SWT akan memberikan ganjaran dan menjanjikan kebahagiaan pada hari akhirat kelak,” katanya.

Hendar berkata, di sebalik berdepan dengan masalah, kita perlu melihat musibah yang mungkin lebih rumit dihadapi orang lain seperti bencana di Lombok dan Sulawesi Selatan disebabkan gempa bumi dan tsumani.

Katanya, kita perlu bersyukur diatas nikmat-Nya kerana negara ini masih berada dalam lindungan dan jagaan Allah daripada bencana alam yang teruk.

Katanya, sekiranya manusia semakin melupakan dan jauh daripada Allah SWT, maka tidak mustahil akan dibalas dengan azab yang dahsyat.

“Kita perlu yakin bahawa setiap yang berlaku adalah di atas kehendak Allah SWT. Apabila Allah SWT mengatakan kun fayakun, maka ia akan berlaku. Ia juga bertepatan dengan firman Allah SWT: “Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah.” (Al-Taghabun: 11)

“Justeru, kita perlu segera memohon keampunan daripada Allah SWT supaya terhindar daripada azab Allah dan dapat terus menjalani kehidupan dengan tenang,” katanya.

Posting Komentar

0 Komentar