Berita Harian - Susuk tubuh menawan dianggap aset berharga bagi sesetengah wanita sehingga ada yang tidak kisah menggadai wang ringgit, lebih teruk lagi sanggup mempertaruhkan nyawa.
Tinjauan BH mendapati, perkhidmatan yang menawarkan suntikan filler yang didakwa berkesan untuk menambah saiz payudara dan punggung terus berleluasa di laman sosial, malah lebih membimbangkan ia mempunyai ribuan pengikut.
Dengan harga dari RM1,800 hingga RM3,350, mengikut isi padu filler yang diinginkan, pelanggan dijanjikan kesan serta-merta tanpa ada masalah sampingan.
Malah, rawatan yang ditawarkan hanya mengambil masa satu hingga dua jam selain penyembuhan singkat.
Pelanggan turut dijanjikan mereka boleh melakukan rutin biasa selepas mengambil suntikan itu tanpa perlu ‘bedrest’ iaitu prosedur biasa selepas membuat pembedahan plastik.
Perkhidmatan filler payudara dan punggung itu menggunakan ‘hyaluronic acid filler’ yang didakwa pemberi perkhidmatan itu sebagai selamat digunakan dan tidak mendatangkan kesan sampingan seperti kanser payudara.
Malah, ia didakwa selamat digunakan untuk wanita mengandung dan ibu yang menyusukan bayi selain tidak sakit serta dijamin berkesan dalam kadar segera.
Hyaluronic acid filler itu didakwa sesuai untuk mereka yang ingin menganjalkan payudara yang kendur, membesarkan payudara yang kecil akan merangsang lelemak dalam payudara secara semula jadi.
Perkhidmatan ini bukan saja ditawarkan di Semenanjung, malah mereka ada yang sanggup terbang ke Sabah dan Sarawak untuk pelanggan mereka dan menawarkan perkhidmatan itu di rumah atau hotel tertentu.
Selain suntikan, krim dan serum membesarkan payudara dan punggung juga dilihat dijual secara berleluasa di laman sosial, malah ada yang menggunakan kelulusan notifikasi daripada Kementerian Kesihatan sebagai faktor menarik jualan mereka.
0 Komentar